Sunday, March 19, 2017

Yap Sean Yee memperbaharui rekod kebangsaanya


KUALA LUMPUR: Ratu lompat tinggi negara, Yap Sean Yee memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL) di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Setiawangsa, hari ini.
Atlet pelapis kebangsaan itu mencatat ketinggian 1.81 meter pada percubaan pertama, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 1.79m yang dilakarkan pada Kejohanan Terbuka Pahang 2015.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi atlet Sekolah Sukan Bukit Jalil, Shahira Sazali dan M Nanthini yang mencatat lompatan 1.60m dan 1.45m.
Dalam pada itu, ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan, Zainal Abas berkata beliau tidak menyangka Sean Yee dapat memecahkan rekod peribadinya sambil berharap kejayaan itu mencerahkan peluang atlet berkenaan untuk diserapkan ke dalam Program 'Kita Juara'.
Program 'Kita Juara' adalah program khas Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyediakan atlet untuk mencapai sasaran muncul juara keseluruhan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, 19 hingga 31 Ogos ini.
"Kalau dia boleh kekalkan lompatan pada ketinggian 1.80 meter, saya yakin dia berada dalam posisi terbaik untuk meraih kedudukan podium pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti," kata Zainal.
Dalam perkembangan sama, Zainal yakin kejayaan cemerlang yang dilakar skuad olahraga negara sejak kebelakangan ini adalah landasan terbaik untuk memburu kejayaan gemilang pada Sukan SEA nanti.
Beliau memaklumkan skuad olahraga negara yang menjalani latihan di Afrika Selatan sejak bulan lalu, berkemungkinan akan meneruskan latihan persediaan selain menyertai pertandingan di Eropah pada bulan Mei atau Julai ini sebagai persediaan akhir menghadapi Sukan SEA.
Keputusan itu, kata Zainal, bagaimanapun bergantung kepada perbincangan antara Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan MSN yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.
Skuad olahraga kebangsaan yang diketuai pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan berada di Afrika Selatan sejak bulan lalu bagi menyertai latihan dan pertandingan selama dua bulan di negara berkenaan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - BERNAMA
bharian

No comments:

Post a Comment